Bahasa Malaysia Articles

Tahukah anda berapa GULA sudah makan seharian?

Want create site? Find Free WordPress Themes and plugins.
 

Baru-baru ini kita digemparkan dengan pendedahan tentang kandungan minuman kegemaran rakyat Malaysia yang mengandungi gula yang tinggi. Bahkan cara pengambilan minuman tersebut dipelbagaikan lagi dengan tambahan gula, susu pekat, ditabur atas minuman tersebut, ditambah pada ais kepal dan berbagai lagi. Rakyat Malaysia memang kreatif tetapi ini boleh membahayakan kesihatan tubuh badan kita.

Mengikut statistik, rakyat Malaysia mengambil anggaran 26 sudu teh gula sehari dan merupakan negara kelapan tertinggi dalam penggunaan gula. Kita juga berada di tempat pertama antara negara-negara Asia Tenggara dan sekarang di Asia sebagai negara Obes. Ini bukan satu pencapaian yang patut dibanggakan. Ini merupakan sesuatu yang memalukan.

Tahukah anda apa akan berlaku kepada tubuh badan kita sekiranya kita mengambil gula secara berlebihan?

1) meningkatkan paras glukosa dalam darah
2) melemahkan sistem imun tubuh badan
3) merosakkan buah pinggang
4) menggalakkan pertambahan kolesterol
5) melemahkan penglihatan
6) meningkatkan risiko sakit jantung
7) menyebabkan sembelit
8) mengakibatkan kegemukan/ obesiti
9) osteoporosis
10) menyempitkan saluran darah
11) mengaktifkan sel kanser
dan banyak lagi.

Bukankah gula dan karbohidrat memberikan tenaga kepada setiap sel dalam tubuh badan kita? Ya betul. Akan tetapi apabila diambil secara berlebihan ianya boleh memudaratkan. Badan kita hanya akan menggunakan sumber glukos mengikut keperluan dan lebihan akan ditukar dan disimpan sebagai lemak. Seterusnya mengakibatkan obesiti dan komplikasi lain seperti;

1) diabetes
2) darah tinggi
3) kolesterol tinggi
4) sleep apnea (gangguan pernafasan ketika sedang tidur)
5) strok
6) serangan jantung
7) asma
8) kanser

Kurangkan pengambilan gula sahaja tidak cukup sebagai langkah pencegahan. Pengguna juga perlu melihat kandungan sekiranya terdapat nama-nama lain bagi gula seperti;

1) fruktosa
2) glukosa
3) laktosa
4) dekstrosa
5) maltosa

Ini adalah tips sebagai langkah permulaan anda untuk mengurangkan pengambilan gula:

1) Pilih makanan kurang manis.

▪Makan makanan atau pencuci mulut kurang manis (jika buat sendiri, kurangkan penggunaan gula).

▪Jika nak makan juga makanan manis atau pencuci mulut, ambil dalam kuantiti yang sedikit.

▪Boleh juga gantikan dengan buah-buahan.

2) Elakkan pengambilan makanan tinggi gula sebagai snek (antara dua waktu makan utama) atau 2 jam sebelum tidur.

3) Lihat fakta nutrisi dan senarai kandungan bahan apabila membeli sesuatu produk makanan.

▪Pastikan kandungan gula adalah rendah.

▪Senarai teratas dalam kandungan merupakan bahan yang terbanyak dalam penghasilan produk. Sekiranya gula terdapat dalam antara senarai terawal bermakna produk tersebut mempunyai kandungan gula yang tinggi.

▪Bandingkan dan pilih produk yang mempunyai kandungan gula yang rendah.

4) Pilih minuman kurang manis.

▪Air mineral/ air masak merupakan pilihan terbaik berbanding air bikarbonat, kordial dan minuman 3-dalam-1.

5) Hadkan pengambilan gula atau susu pekat dalam minuman.

▪ Satu sudu teh untuk satu cawan.


6) Pesan minuman kurang manis setiap kali makan di luar.

7) Hadkan pengambilan hidangan yang disediakan manis seperti ABC atau cendol.

8) Elakkan minuman tinggi gula sebagai snek atau sebelum tidur.

Malaysia merupakan syurga makanan tetapi bukan bermakna kita boleh makan segalanya sehingga membahayakan kesihatan kita. Kita boleh mengambil makanan tersebut tetapi perlu berpada-pada dengan mengamalkan konsep #sukusukuseparuh yang telah dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Konsep ini telah dilancarkan sebagai salah satu senjata untuk menentang obesiti. Aktiviti fizikal juga penting dalam menjalani kehidupan yang sihat.

Tidak terlambat untuk membuat perubahan. Berubahlah sekarang daripada merana di kemudian hari.

Rujukan/ sumber:
Portal MyHealth
National Health & Morbidity Survey (2015)
Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Did you find apk for android? You can find new Free Android Games and apps.

Author


AvatarAvatar