Cuaca Panas: Ibu Bapa Perlu Peka, Lindungi Anak Daripada Strok Haba.

Cuaca panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini bukan sekadar menyebabkan
rasa tidak selesa, malah boleh memberi ancaman serius kepada kesihatan, khususnya
kanak-kanak. Dalam keadaan suhu yang semakin meningkat, ibu bapa perlu lebih peka
terhadap tanda-tanda awal masalah berkaitan haba seperti Strok Haba, yang boleh berlaku
dengan cepat dan membawa komplikasi berbahaya jika tidak ditangani segera.

Kanak-kanak merupakan golongan yang lebih mudah terjejas berbanding orang dewasa. Ini
kerana tubuh mereka menyerap haba dengan lebih cepat, manakala sistem kawalan suhu
badan masih belum matang sepenuhnya. Tambahan pula, mereka lebih mudah mengalami
dehidrasi kerana sering leka bermain dan tidak menyedari keperluan untuk minum air
secukupnya.

Sebelum berlakunya strok haba, biasanya terdapat tanda awal yang dikenali sebagai Heat
Exhaustion.

Antara gejala yang perlu diberi perhatian

  • berpeluh berlebihan
  • pening atau sakit kepala
  • loya atau muntah
  • letih atau lemah
  • Jantung berdegup laju
  • Suhu badan meningkat

 

 

Pada tahap ini, tindakan segera seperti membawa anak ke tempat yang teduh dan
memastikan mereka minum air adalah sangat penting untuk mengelakkan keadaan
menjadi lebih serius.Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh berisiko menjadi strok haba
yang lebih berbahaya.

Tanda bahaya (Strok Haba)

  • Keliru / perubahan tingkah laku
  • Suhu badan sangat tinggi
  • Degupan jantung laju
  • Pengsan
  • Sawan

Dalam situasi ini, ibu bapa tidak boleh berlengah, segera bawa anak ke klinik atau
hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.Risiko masalah berkaitan haba
meningkat apabila kanak-kanak terdedah lama kepada cahaya matahari, terlibat dalam
aktiviti luar seperti bersukan, atau tidak mengambil air yang mencukupi. Oleh itu,
pemantauan rapi oleh ibu bapa amat penting, terutama ketika cuaca panas melampau.

Bagi mengurangkan risiko, langkah pencegahan yang mudah boleh dilakukan,

Langkah pencegahan

  • Pastikan anak minum air dengan kerap
  • Elakkan aktiviti luar waktu tengah hari
  • Sediakan tempat teduh
  • Pakaian ringan & serap peluh

 

Kesimpulannya, cuaca panas bukan sekadar ketidakselesaan, tetapi boleh membawa
risiko kesihatan yang serius. Dengan kesedaran dan tindakan awal, ibu bapa mampu
melindungi anak-anak daripada bahaya strok haba. Pemerhatian yang teliti dan tindakan
pantas boleh menyelamatkan nyawa. Jika terdapat sebarang tanda mencurigakan,
jangan tunggu untuk dapatkan pemeriksaan di klinik dengan segera.

Jangan tunggu bahaya,cegah strok haba dan lindungi keluarga tersayang.