Oleh Mohd Zaki Zainudin - 28 April 2026

Kesihatan mental yang lemah di tempat kerja sering dikaitkan dengan peningkatan ketidakhadiran, kehadiran tanpa produktiviti, penurunan prestasi dan peningkatan kos penjagaan kesihatan - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hampir satu daripada dua pekerja dikenal pasti berisiko mengalami kelesuan melampau atau 'burnout', mencerminkan tekanan kerja yang semakin meningkat dalam kalangan tenaga kerja masa kini.
Dapatan itu diperoleh menerusi saringan tenaga kerja membabitkan 363 pekerja di bawah inisiatif kesejahteraan tempat kerja oleh Alpro Health, yang menunjukkan sekitar 49 peratus responden berada pada tahap risiko tinggi 'burnout'.
Selain itu, lebih 57 peratus pekerja melaporkan mengalami tekanan psikologi yang tinggi, manakala 46 peratus lagi berdepan tekanan fizikal yang ketara dalam menjalani tugasan harian.
Kajian sama turut mendapati hampir 33 peratus pekerja menunjukkan tahap kebimbangan sederhana hingga teruk, manakala hampir satu daripada lima pekerja mencatatkan tahap pembabitan kerja yang rendah.
Menurut Alpro Health, isu kesihatan mental di tempat kerja tidak boleh dilihat semata-mata melalui lensa 'burnout', sebaliknya mencerminkan spektrum lebih luas yang merangkumi pelbagai faktor persekitaran kerja.
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kesihatan mental yang lemah di tempat kerja sering dikaitkan dengan peningkatan ketidakhadiran, kehadiran tanpa produktiviti, penurunan prestasi serta peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, kesan itu bukan sahaja memberi impak kepada organisasi, malah turut membabitkan keluarga dan komuniti secara keseluruhan.
Seiring peningkatan perbincangan mengenai kesihatan mental di Malaysia, burnout sering dilihat sebagai punca utama pekerja berasa letih, tertekan dan hilang motivasi, terutamanya akibat waktu kerja panjang dan beban tugas yang berat.
Bagaimanapun, pemerhatian Alpro Health mendapati 'burnout' hanyalah sebahagian daripada gambaran lebih besar yang membabitkan struktur kerja, sokongan organisasi serta tahap kelestarian tuntutan harian terhadap pekerja.
Dalam banyak organisasi, keletihan kini menjadi sesuatu yang dinormalisasikan apabila pekerja terus hadir bekerja walaupun tahap tenaga rendah, motivasi merosot dan fokus semakin berkurangan.
Keadaan ini, jika berlarutan, boleh diterima sebagai rutin kerja biasa tanpa disedari sebagai petanda awal bahawa tuntutan kerja mungkin tidak lagi mampan.
Alpro Health menjelaskan bahawa tanda awal seperti keletihan berterusan, kesukaran menumpukan perhatian, mudah marah, penurunan motivasi dan gangguan tidur sering diabaikan kerana dianggap tekanan sementara.
Namun, tanda-tanda ini sebenarnya boleh mencerminkan isu lebih mendalam seperti kekurangan keselamatan psikologi, sokongan tempat kerja dan tahap pembabitan pekerja.
Pakar Psikologi Klinikal Alpro Health, Izzaty Shaima, berkata 'burnout' jarang berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya hasil pendedahan berpanjangan terhadap tekanan tanpa pemulihan mencukupi.
Beliau berkata, keadaan itu sering digabungkan dengan persekitaran kerja yang tidak memberi ruang kepada individu untuk berasa selamat atau menyuarakan cabaran yang dihadapi.
"Ramai individu terus berfungsi walaupun kesejahteraan mereka merosot, menyebabkan tanda awal sering terlepas pandang sehingga menjadi masalah lebih serius," katanya.
Bagi membantu organisasi memahami corak ini dengan lebih jelas, Alpro Health membangunkan HappiDex, iaitu indeks kesejahteraan tempat kerja yang menukarkan petunjuk kesihatan mental kepada data yang lebih terukur.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada Happier Project yang bertujuan membantu organisasi mengenal pasti risiko lebih awal melalui penilaian berstruktur terhadap kesejahteraan pekerja.
Menurut Alpro Health, cabaran utama ketika ini ialah banyak organisasi lebih menumpukan kepada membantu pekerja menangani tekanan berbanding memahami punca sebenar tekanan berkenaan.
Sehubungan itu, usaha yang dilaksanakan berisiko hanya merawat simptom tanpa menyelesaikan masalah asas yang mempengaruhi kesejahteraan pekerja.
Baca artikel penuh disini: Berita Harian