Hantavirus: Ancaman global baharu bawaan tikus perlu diwaspadai
Oleh Zatul Iffah Zolkiply - Mei 14, 2026 @ 5:07pm

Gambar Hiasan
Kuala Lumpur: Persepsi masyarakat terhadap penyakit berjangkit berubah secara ketara sejak pandemik Covid-19 dengan sebahagian besar lebih peka terhadap kebersihan dan risiko jangkitan, namun landskap penjagaan kesihatan kini berdepan pula dengan ancaman global baharu iaitu Hantavirus.
Pada Mei lalu, pihak berkuasa kesihatan antarabangsa melaporkan beberapa kluster virus berkenaan yang dikaitkan dengan sektor pelancongan serta persekitaran maritim di luar negara.
Doktor Keluarga Klinik Alpro, Dr Kam San Dhit berkata, walaupun kejadian itu berlaku di luar Malaysia, ia tetap relevan dengan konteks kesihatan awam tempatan memandangkan risiko pendedahan kepada penyakit Leptospirosis atau lebih dikenali sebagai kencing tikus sentiasa wujud.
"Masyarakat perlu mempunyai pemahaman yang berasaskan fakta dan sains dalam menghadapi ancaman virus baharu yang semakin muncul bagi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, Hantavirus turut dikategorikan sebagai penyakit bawaan tikus di mana manusia boleh terdedah kepada partikel (zarah atau unsur kecil) tercemar di udara termasuk air liur, air kencing dan najis haiwan berkenaan.
Katanya, jangkitan lazimnya berlaku dalam dua fasa dengan tanda awal membabitkan demam tinggi, sakit otot yang teruk khususnya pada bahagian paha, pinggul dan belakang badan serta keletihan melampau.
"Sekiranya jangkitan berkembang menjadi Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), pesakit mungkin akan mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan batuk berterusan akibat pengumpulan cecair di dalam paru-paru," katanya.
Bagi proses diagnosis, Dr Kam berkata, doktor akan menilai sejarah pendedahan pesakit di kawasan seperti stor simpanan, garaj atau loteng selain menjalankan ujian makmal bagi mengesan penurunan platelet darah.
Beliau berkata, ujian pengesahan seperti ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) dan ujian antibodi serta pemeriksaan X-ray dada dilakukan bagi mengesan tanda awal pengumpulan cecair atau edema paru-paru.
Tambahnya, langkah pencegahan paling berkesan adalah melalui pengurusan persekitaran menggunakan kaedah 'pembersihan basah' bagi mengelak virus tersebar di udara.
"Jangan menyapu atau menggunakan vakum di kawasan yang terdapat najis tikus kerana ia boleh menyebabkan partikel virus tersebar ke udara, sebaliknya gunakan cecair pembasmi kuman atau campuran peluntur dan air untuk menyembur kawasan tercemar sebelum dibersihkan dengan kain lembap," katanya.
Beliau turut menasihatkan individu yang mengalami simptom mencurigakan atau pernah terdedah kepada kawasan tercemar dengan sisa tikus supaya segera mendapatkan pemeriksaan klinikal daripada doktor keluarga dengan segera.
Katanya, penilaian klinikal awal masih menjadi faktor paling penting dalam meningkatkan peluang pemulihan.
Baca artikel asal disini : Harian Metro