Malaysia Berdepan Peningkatan Ketara Penyakit Jantung dan Buah Pinggang
Alpro Group dengan sokongan Boehringer Ingelheim melancarkan Jaga CarDia bagi menggalakkan saringan awal dan pencegahan |
KUALA LUMPUR, MALAYSIA -18 November 2025 - Setiap hari, purata seramai 55 rakyat Malaysia kehilangan nyawa akibat penyakit jantung, kebanyakannya dalam usia produktif (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2022). Pada masa yang sama, jutaan lagi hidup dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) tanpa disedari.
Dari kiri: Ph Lim En Ni (Ketua Ahli Farmasi dan Pengarah Penglibatan Kumpulan Alpro); Dr. Kam San Dhit (Doktor Keluarga & Pengurus Alpro Clinic); Encik Cheong Yee Kok (Pengurus Besar & Ketua Farmasi Manusia Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura & Indonesia); Ms Angie H'ng Ai Ai (Ketua Francais Bahagian Terapeutik Kardio, Buah Pinggang dan Metabolik, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura & Indonesia); Dr. Jamal Malik (Ketua Perubatan Boehringer Ingelheim Malaysia).
Bagi menangani krisis kesihatan yang senyap namun semakin membimbangkan ini, Alpro Group dengan sokongan Boehringer Ingelheim, peneraju global dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit, telah melancarkan "Jaga CarDia", sebuah program pengesanan awal bersubsidi di seluruh negara. Inisiatif ini menyasarkan untuk memperkasakan 5,000 rakyat Malaysia yang mengambil ubat jangka panjang bagi menjalani saringan awal tanda-tanda kerosakan jantung, buah pinggang dan hati sebelum keadaan menjadi kronik dan tidak dapat dipulihkan. Inisiatif Jaga CarDia menawarkan ujian darah yang penting untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai kesihatan jantung, buah pinggang, hati dan nutrisi seseorang, meliputi lebih 70 indikator kesihatan utama, semuanya pada kadar bersubsidi RM100 untuk dua individu bagi pakej saringan asas. Pendekatan berorientasikan keluarga ini menggalakkan orang ramai menjaga kesihatan bersama. Dengan menekankan pencegahan berbanding rawatan, Alpro Group dan Boehringer Ingelheim berhasrat memupuk kesedaran jangka panjang kerana pengesanan awal merupakan benteng pertama pencegahan komplikasi serius seperti kegagalan jantung, strok dan dialisis. Data semasa menunjukkan gambaran yang membimbangkan mengenai kesihatan jantung dan buah pinggang negara. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung Iskemia kekal sebagai punca kematian utama negara pada tahun 2022, merangkumi 16.1 peratus daripada semua kematian diperakui secara perubatan (20,322 kes) (DOSM, 2023). Lebih merisaukan, sebahagian besar kes berlaku dalam kalangan individu di bawah umur 60 tahun, menandakan golongan muda semakin berisiko. Dalam masa yang sama, kajian yang diterbitkan dalam BMC Nephrology menunjukkan 15.5 peratus orang dewasa Malaysia, lebih lima juta individu hidup dengan CKD, namun hanya sebahagian kecil menyedari keadaan mereka (Ho et al., 2020). Secara keseluruhan, dapatan ini menggambarkan epidemik senyap penyakit kronik yang semakin mengancam populasi usia bekerja di Malaysia, sekali gus menekankan keperluan mendesak untuk pencegahan dan pengesanan awal. "Pengesanan awal adalah asas kepada hasil kesihatan yang lebih baik. Di Alpro Clinic, ramai pesakit hadir hanya selepas keadaan mereka menjadi serius, selalunya apabila simptom semakin ketara," kata Dr Ng Ming Lee, Pengarah Perubatan Alpro Clinic. "Melalui Jaga CarDia, kami ingin mengubah naratif ini dengan membantu rakyat Malaysia mengambil langkah pertama memahami kesihatan mereka sebelum terlambat. Dengan menggabungkan kepakaran doktor keluarga, ahli farmasi dan para profesional kesihatan kami, kami menyediakan kaedah yang mudah, mampu milik dan mudah diakses untuk menilai kesihatan jantung, buah pinggang, hati serta nutrisi. Harapan kami ialah agar saringan pencegahan menjadi rutin kesihatan setiap keluarga sebelum penyakit mengancam nyawa." Encik Cheong Yee Kok, Pengurus Besar/Ketua Human Pharma, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia menambah: "Di Boehringer Ingelheim, kami memberi tumpuan utama pada penyakit kardio-renal-metabolik (CRM), bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kami berusaha memastikan orang ramai mendapat bantuan awal sebelum keadaan bertambah serius. Kerjasama kami dengan Alpro Group mencerminkan kepercayaan bersama bahawa pengesanan awal dan pemantauan berterusan adalah sama pentingnya dengan rawatan. Perkongsian ini juga selari dengan kempen Sihat Sama-Sama yang bakal dilancarkan, iaitu satu usaha nasional untuk mempromosikan kesihatan pencegahan di bawah rangka kerja kemampanan kami, Sustainable Development for Generations – untuk manfaat pesakit, masyarakat dan alam sekitar ini." Nama "Jaga CarDia" membawa maksud yang mendalam. Dalam Bahasa Melayu, "Jaga" bermaksud "melindungi", manakala "CarDia" merangkumi hubungan penting antara kesihatan jantung (cardio), diabetes dan buah pinggang. Gabungan ini melambangkan pendekatan holistik dan bersepadu terhadap pencegahan penyakit kronik. Di bawah program ini, saringan kesihatan disediakan di semua cawangan Alpro Clinic di seluruh negara. Setiap Individu akan menerima bimbingan peribadi daripada pasukan kesihatan profesional Alpro yang terdiri daripada pelbagai disiplin, termasuk ahli farmasi dan doktor keluarga, yang akan membantu mentafsir keputusan dan memberikan saranan susulan. Lebih daripada sekadar saringan tunggal, Jaga CarDia bertindak sebagai perjalanan kesihatan peribadi, membantu rakyat Malaysia memahami bagaimana ubat, pemakanan dan gaya hidup memberi kesan kepada kesihatan jantung, buah pinggang dan keseluruhan kesejahteraan diri. Rakyat Malaysia yang layak, khususnya mereka yang mengambil ubat jangka panjang bagi penyakit seperti hipertensi atau diabetes, digalakkan untuk mendaftar di https://bit.ly/JagaCarDiaBloodScreening dan menjadualkan janji temu di mana-mana Alpro Clinic di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh bertanya di Alpro Pharmacy yang terdekat. Dengan hanya RM100 untuk dua orang, individu mendapat akses awal untuk mengetahui keadaan kesihatan jantung, buah pinggang, hati serta nutrisi mereka, bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil sebelum kerosakan senyap bertukar menjadi penyakit serius. Sesungguhnya, ketiadaan simptom tidak semestinya bermaksud sihat, ia mungkin hanya bermaksud tubuh belum memberi amaran. Dengar awal, bertindak awal, biar pengesanan awal melindungi anda dan insan tersayang. Hashtags: #AlproGroup The issuer is solely responsible for the content of this announcement. Mengenai Alpro GroupDitubuhkan pada tahun 2002, perkembangan ekosistem Kumpulan Alpro telah meluas termasuk kepada penubuhan Alpro Pharmacy, Alpro スギ Pharmacy, Alpro Physio, Alpro Clinic, Alpro Baby, Alpro Optisaver dan Alpro Audiology. Dengan sokongan lebih daripada 1,000 profesional kesihatan yang terdiri daripada para doktor, ahli farmasi, pakar pemakanan, dietitian, fisioterapi, optometri dan pelbagai profesional kesihatan yang lain, Alpro telah berkhidmat kepada lebih 5 juta keluarga di Malaysia dan Indonesia melalui rangkaian luas 500 cawangan fizikal. Alpro Pharmacy merupakan farmasi komuniti pertama dan satu-satunya di rantau ini yang menawarkan insurans liabiliti produk bernilai MYR 1 juta di Malaysia dan IDR 3 bilion di Indonesia, memastikan bekalan ubat-ubatan asli serta meningkatkan kepercayaan pengguna. Dengan visi untuk mencipta dunia yang sihat dan bertenaga, Alpro Group berhasrat untuk menjadi rangkaian farmasi preskripsi No. 1 di Asia Tenggara. Mengenai Boehringer Ingelheim Boehringer Ingelheim adalah sebuah syarikat biofarmaseutikal yang aktif dalam bidang kesihatan manusia dan haiwan. Sebagai salah satu pelabur terkemuka dalam penyelidikan dan pembangunan dalam industri ini, syarikat menumpukan usaha kepada pembangunan terapi inovatif yang dapat meningkatkan dan memanjangkan nyawa dalam bidang yang mempunyai keperluan perubatan tinggi tetapi belum dipenuhi. Boehringer Ingelheim berdikari sejak penubuhannya pada tahun 1885 dan mengambil perspektif jangka panjang, menyepadukan kelestarian di sepanjang keseluruhan rantaian nilai. Anggaran 54,500 tenaga kerja syarikat berkhidmat di lebih 130 pasaran bagi membina masa depan yang lebih sihat dan lestari. Ketahui lebih lanjut di MLR: MPR-MY-100239 |