Sandoz & Alpro Pharmacy Jalin Kerjasama, Perkenal Rawatan Biosimilar Pertama Menerusi Program OncoHelp
Sandoz, peneraju global ubat-ubatan mampu milik, dan Alpro Pharmacy, rangkaian farmasi preskripsi terkemuka di Malaysia, hari ini memeterai perjanjian strategik untuk meningkatkan akses pesakit kepada rawatan berkualiti tinggi bagi penyakit kanser dan imuniti kronik
Kerjasama ini menandakan pengenalan rawatan biosimilar pertama di bawah Program OncoHelp Alpro Pharmacy, yang dikhususkan untuk membantu pesakit Non-Hodgkin Lymphoma (NHL) dan Rheumatoid Arthritis (RA), terutamanya mereka yang dirujuk daripada hospital kerajaan.
Menerusi kolaborasi ini, ubat-ubatan biosimilar Sandoz akan disepadukan ke dalam Program Navigasi Pesakit OncoHelp. Inisiatif ini bertujuan memastikan kesinambungan penjagaan pesakit tidak terhenti selepas mereka keluar dari hospital, sebaliknya diteruskan menerusi rangkaian farmasi komuniti.
Program OncoHelp Alpro Pharmacy berfungsi sebagai pusat sokongan sehenti yang membantu pesakit dan keluarga mereka menguruskan perjalanan rawatan kanser dengan lebih mudah dan berkesan.

Biosimilar sebagai kunci rawatan mampu milik
Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura, dan Brunei, Christine Chong, menekankan bahawa biosimilar memainkan peranan kritikal dalam mengurangkan beban kewangan pesakit.
"Di Malaysia, NHL merupakan kanser kelapan paling lazim. Rawatannya selalunya bersifat jangka panjang dan memerlukan kos yang tinggi. Dengan meluaskan akses kepada biosimilar, kami membantu mengurangkan halangan rawatan dan membolehkan lebih ramai pesakit kekal konsisten dengan terapi mereka pada kos yang lebih berpatutan," ujar beliau.
Ketua Program Alpro OncoHelp, Joelle Wong Pei Sen, menyatakan bahawa farmasi komuniti adalah titik penjagaan yang paling mudah dicapai oleh pesakit untuk mendapatkan bimbingan ubat-ubatan dan kaunseling.
"Program ini telah menyokong ribuan keluarga dan dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit di seluruh negara melalui pengukuhan akses kepada sokongan kesihatan berasaskan komuniti yang tersusun," katanya.

Majlis yang berlangsung di ibu pejabat Alpro Pharmacy di Sendayan itu turut memuatkan sesi perbincangan meja bulat bertajuk "Making Essential Immunology & Oncology Medicine Accessible, Affordable, and Convenient for All".
Sesi tersebut dihadiri pakar perubatan terkemuka termasuk Dr. Wong Yih Seong (Pakar Hematologi HSA) dan Prof. Madya Dr. Fariz bin Yahya (Pakar Reumatologi PPUM) bagi membincangkan peranan biosimilar dalam mentransformasikan penjagaan pesakit di Malaysia.
