Ivermectin Berisiko Akibatkan Masalah Kesihatan, Kematian

By Alpro Pharmacy

June 25, 2021

23 JUN: Penggunaan ubat antiparasit, Ivermectin secara tidak betul boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius, seperti alahan, pening, sawan, koma dan kematian.

Ivermectin diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan digunakan secara meluas bagi rawatan beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Sehingga kini, tiada penggunaan Ivermectin yang didakwa pihak tertentu kononnya mampu merawat COVID-19, dibenarkan dan didaftarkan ke atas manusia di negara ini, sebaliknya hanya untuk haiwan.

Ketua Pegawai Farmasi dan Pengarah Perhubungan Pelanggan Kumpulan Farmasi Alpro, Lim En Ni, berkata setiap maklumat berhubung keberkesanan penggunaan Ivermectin perlu mendapat pengesahan sewajarnya.

Jelasnya, keberkesanan Ivermectin dalam menghentikan replika virus SARS-CoV-2 dalam kalangan pesakit COVID-19 sehingga kini masih di tahap penilaian Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kami maklum mengenai laporan media dan perbincangan di media sosial berhubung penggunaan Ivermectin dalam rawatan COVID-19 di Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahguna Ivermectin tanpa khidmat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi.

“Masyarakat dinasihatkan merujuk kenyataan KKM atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi maklumat berhubung penggunaan Ivermectin atau ubat lain untuk rawatan COVID-19,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) sebelum ini, dilaporkan memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital di bawah kementerian itu.

Selain itu, En Ni berkata, FDA Amerika Syarikat juga sehingga kini belum memberi kelulusan penggunaan Ivermectin bagi rawatan COVID-19 dalam masyarakat.

Katanya, kajian ke atas keselamatan penggunaan Ivermectin sedang dijalankan dengan terperinci di bawah pemantauan pakar perubatan dan penyelidik.

Generate Cart URL
Whatsapp