Alpro Pharmacy, NCSM Jalin Kerjasama Bantu Ringankan Beban Kewangan Pesakit Kanser

By Alpro Pharmacy

June 14, 2023

KUALA LUMPUR, 14 Jun Rangkaian farmasi preskripsi terbesar di Malaysia, Alpro Pharmacy dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser serta membantu meringankan beban kewangan pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, Alpro Pharmacy turut menaja makanan tambahan nutrisi bernilai RM200,000 kepada NCSM, seiring usaha memperkuatkan persatuan dalam menyediakan sokongan nutrisi yang sangat diperlukan kepada pesakit kanser, sekali gus menambahbaik kualiti hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Alpro Pharmacy, Low Swee Siong berkata, menerusi visi ‘For A Healthy and Vibrant World’ mereka, pihaknya komited untuk memberi keutamaan kepada kesejahteraan orang ramai berbanding meraih keuntungan. Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa pesakit kanser dan keluarga mereka mengalami beban kewangan disebabkan rawatan dan kos ubat-ubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alpro Pharmacy, Low Swee Siong (kiri gambar) dan Pengarah Urusan NCSM, Dr M Murallitharan (kanan gambar)

“Bagi meringankan beban mereka, kami bekerjasama dengan pengedar dan pembekal untuk memberi harga istimewa, dan bagi memastikan ubat-ubatan ini lebih berpatutan, kami telah membuat keputusan untuk tidak mengambil sebarang keuntungan daripadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Low, melalui kerjasama dengan NCSM, pihaknya secara aktif menyumbang kepada Sasaran 3: Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, yang ditetapkan oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu dalam 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Ini juga akan membantu kami memenuhi janji kami terhadap penyertaan kami dalam United Nations Global Compact (UNGC) tahun lalu,” katanya. Pengarah Urusan NCSM, Dr M Murallitharan berkata, melalui kerjasama itu, pesakit kanser dan keluarga mereka akan mempunyai akses penuh kepada pasukan pakar, yang menyediakan maklumat kanser yang sahih dan menanamkan keyakinan dalam perjalanan mereka.

“Kami benar-benar berterima kasih atas komitmen dan kemurahan hati Alpro Pharmacy terhadap komuniti kanser,” katanya.

Untuk memudahkan sokongan yang khusus bagi pesakit kanser dan keluarga mereka, Alpro telah menubuhkan pusat sehenti ‘ONCOHelp’ bagi pesakit kanser. Pasukan pusat ONCOHelp, yang terdiri daripada penjagaan kesihatan profesional termasuk doktor, ahli farmasi, fisioterapi, pakar pemakanan, dan ahli dietetik.

Pihaknya akan menyediakan perkhidmatan panduan pesakit, perolehan ubat kanser dengan kos berpatutan, membantu dalam permohonan pembiayaan untuk pesakit yang layak, serta sokongan holistik perubatan selama setahun secara percuma untuk pesakit berdaftar. -Zulfadli Sharifudin (DagangNews.com)

Generate Cart URL
Whatsapp